KUALA LUMPUR – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) yang disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket penyeludupan masih perlu diberikan keadilan selagi tidak terbukti bersalah.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya menyerahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Terpulang kepada SPRM untuk menyiasat dan tindakan seterusnya. Tapi keadilan mesti diberikan kepada kedua pihak. Sama ada kepada pihak SPRM dalam rakyat mahu tahu apa yang berlaku, di pihak MINDEF anggota juga harus diberikan keadilan dalam konteks undang-undang dan seumpanya,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Ujar Adly, Kementerian Pertahanan yang turut menjalankan siasatan dalaman juga akan membuat tindakan selanjutnya selepas terbaktu berlaku skandal atau sebaliknya.
“Sama ada berlaku skandal atau tidak, siasatan dilakukan di peringkat dalaman dan SPRM. Itu kita akan jawab bila proses-proses itu kita dapat lengkapkan,” katanya menjawab soalan daripada Datuk Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang – PH).
SPRM sebelum ini berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai kanan ATM di selatan tanah air melalui Ops Sohor.
Kemudian Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dilaporkan mengesahkan sebahagian kakitangan ATM yang ditahan sekitar Lembah Klang menerusi operasi berkenaan merupakan anggota MDIO.- MalaysiaGazette
















