BALIK PULAU – Mahkamah Majistret di sini hari ini tidak membenarkan jaminan terhadap seorang fasilitator yang didakwa atas tiga pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.
Terdahulu, tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kem White Resort, Kampung Genting di sini antara pukul 4.09 hingga 4.30 pagi pada 12 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Huey Ting kemudian memutuskan kes dirujuk ke Mahkamah Sesyen bagi proses jaminan serta lantikan peguam.
Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, fasilitator sambilan sebuah akademi ditahan pada 15 Oktober lalu, polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap empat murid lelaki berusia 12 tahun sebuah pusat latihan di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata, kejadian berlaku pukul 4.30 pagi di bilik asrama lelaki pusat latihan berkenaan pada 12 Oktober lalu.
“Suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani, Kedah semalam selepas laporan dibuat guru besar pada hari sama di Balai Polis Bagan Serai, Perak,” katanya. – MalaysiaGazette















