KUALA LUMPUR – Krisis di Myanmar sekiranya dibiarkan tanpa penyelesaian boleh mencetuskan kepada pelbagai isu dalaman serta rentas sempadan termasuk jenayah rentas negara, pelarian dan ketidakstabilan sosio ekonomi.
Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyelesaian kepada isu di negara itu perlu dicapai secara berhati-hati, bukan secara paksaan.
Ujar beliau, dalam krisis yang berlaku sejak puluhan tahun itu, proses damai tidak akan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan ketekunan dan penglibatan aktif semua negara ASEAN.
“Ia akan menjadi proses panjang, yang mesti dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri, dan disokong oleh ASEAN iaitu jalan yang berasaskan kepercayaan, bukan paksaan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.
Menurut Mohamad, Pengerusi ASEAN pada masa akan datang juga mesti terus menunjukkan tekad dan ketabahan, serta berpegang kepada semangat perpaduan yang menyatukan rantau ini dalam mendepani krisis Myanmar.
Ujarnya, semangat sama ditunjukkan ASEAN sewaktu Myanmar dilanda gempa bumi kuat awal tahun ini, yang mana negara-negara anggota bersama-sama menggerakkan pasukan kecemasan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi menyokong usaha pemulihan di lapangan.
“Apabila berdepan dengan cabaran, kita mampu dan mesti bertindak sebagai sebuah entiti.
“Menangani krisis Myanmar memerlukan bukan sahaja pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat, tetapi juga komitmen seluruh rantau ke arah mewujudkan keamanan,” katanya.
Myanmar ketika ini terus dibelenggu krisis domestik khususnya perang saudara yang berlarutan selain kelembapan ekonomi dan bencana alam yang memberi kesan kepada majoriti rakyatnya.
Rampasan kuasa tentera pada 2021 menyebabkan sekurang-kurangnya tiga juta rakyat negara itu kehilangan tempat tinggal, menambah kepada krisis kemanusiaan yang sudah sedia memburuk di negara tersebut. – MalaysiaGazette
















