Al-Sultan Abdullah berkenan memakaikan pangkat Mejar TUDM kepada anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Kapten Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Khas TUDM (PASKAU) Siri 32/25 di Pantai Hiburan, Rompin

ROMPIN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melakar sejarah menjadi kerabat diraja Pahang pertama yang menamatkan latihan Kursus Asas Pasukan Khas Tentera Udara Malaysia (TUDM) (PASKAU) hari ini.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anakandanya itu ketika berkenan menyampaikan titah selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Khas TUDM (PASKAU) Siri 32/25 di Pantai Hiburan di sini hari ini.

“Saya anggap hari ini satu hari yang cukup istimewa bagi saya dan keluarga saya kerana melihat dengan bangganya lahir seorang PASKAU daripada kalangan keluarga saya.

“Mudah-mudahan ramai lagi PASKAU akan dilahirkan daripada keluarga saya,” titah baginda.

Turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut ialah Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Lebih bermakna Al-Sultan Abdullah hari ini turut berkenan menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada Kapten Tengku Hassanal yang telah dinaikkan ke pangkat Mejar TUDM yang berkuatkuasa pada 18 Oktober 2025.

Dalam majlis yang penuh istiadat ketenteraan itu juga, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Beret Biru PASKAU, Lanyard Biru serta Dagger PASKAU kepada Tengku Hassanal dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM yang turut sama tamat menjalani latihan kepakaran PASKAU.

Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 telah dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), TUDM Bukit Ibam dan sekitar Rompin selama 12 minggu bermula 28 Julai lalu.

Kursus yang disertai tiga pegawai dan 50 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) TUDM itu menguji kekuatan mental, fizikal dan daya tahan setiap penuntut serta perlu melepasi lima peringkat utama latihan untuk lulus.

Dalam siri latihan kali ini, Mejar Tengku Hassanal dan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris antara 22 yang berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast