KUALA LUMPUR – Tidak sampai seminggu bergelar Perdana Menteri Jepun baharu, Malaysia menjadi pilihan Sanae Takaichi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Kehadiran wanita berusia 64 tahun itu bukan sahaja mencuri tumpuan pengamal luar negara malah dari negara matahari terbit itu seramai 314 orang iaitu jumlah teramai dalam kalangan 2,854 pengamal media daripada 290 agensi dalam dan luar negara telah mendaftar bagi membuat liputan.
Jepun muncul negara yang menghantar bilangan wakil media tertinggi diikuti Amerika Syarikat (181), Republik Korea (101) dan Filipina (68).
Sementara itu, pada 21 Oktober lalu, Takaichi yang merupakan seorang tokoh berperwatakan konservatif mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.
Tokoh itu dikenali sebagai Iron Lady Jepun kerana ketegasannya serta kekagumannya terhadap bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.
Beliau berjaya memenangi undian Parlimen selepas mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) dan membentuk gabungan dengan parti pembangkang Japan Innovation Party.

Takaichi menjadi Perdana Menteri keempat dalam tempoh lima tahun yang mencerminkan ketidakstabilan politik dalam parti pemerintah LDP yang dibelenggu skandal.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pernah memuji bekas Menteri Keselamatan Ekonomi itu sebagai seorang pemimpin berwibawa dan bijaksana.
Trump yang turut hadir di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan berlepas pulang malam ini untuk ke Jepun bagi mengadakan lawatan ke negara berkenaan bermula esok selama dua hari.
Kali terakhir Trump melawat Jepun ialah pada tahun 2019 atas jemputan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.
Lawatan Trump ke Jepun merupakan sebahagian daripada jelajah ke Asia, yang bakal menyaksikan Presiden AS itu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia dan lawatan rasmi ke Korea Selatan, minggu hadapan. – MalaysiaGazette















