BUTTERWORTH – Seorang pembantu kedai makan warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, pada awal bulan ini.
Tertuduh, Md Amanul Hasib, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun dengan cara mencium kepala dan tangan serta memegang tangan mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 11 pagi hingga 1 petang di sebuah restoran makanan segera di Bertam, di sini, pada 11 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon tarikh untuk fakta hukuman dan laporan forensik, selain tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh bukan warga negara, tiada pas masuk sah, dan kes di bawah akta tersebut diklasifikasikan sebagai kesalahan serius.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik serta fakta hukuman terhadap tertuduh. –
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, lelaki itu didakwa atas pertuduhan tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk masuk ke negara ini mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















