Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier China, Li Qiang ketika hadir ke mesyuarat-mesyuarat berkaitan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (ASEAN+3) ke-28 yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini membuka babak baharu dalam kerjasama Asia Timur bukan sekadar forum diplomasi.

Sebaliknya ia adalah medan untuk bertindak menghadapi realiti geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.

Sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan agenda daripada dialog ke tindakan dengan menyeru ASEAN+3 mempercepatkan penubuhan Rizab Bekalan Perubatan bagi menghadapi sebarang kecemasan kesihatan awam pada masa hadapan.

“Pengalaman ASEAN+3 menunjukkan bahawa cabaran bersama boleh ditukar menjadi kekuatan. Kita mesti menggandakan usaha dalam penglibatan dan kerjasama inilah kunci kestabilan Asia Timur,” katanya.

Namun, sidang kali ini juga memperlihatkan gema kebimbangan serantau terhadap arus baharu proteksionisme dan ketegangan kuasa besar yang menguji daya tahan Asia Timur.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri China Li Qiang mengingatkan tentang keajaiban ekonomi Asia Timur selama beberapa dekad dari kebangkitan Jepun pasca-perang hingga pertumbuhan pesat Asia Tenggara terhasil kerana rantau ini berpegang pada prinsip keterbukaan dan kerjasama.

“Asia Timur telah mencipta satu demi satu keajaiban ekonomi. Bandar moden kita bangkit dari tanah, masyarakat kita berubah hasil keterbukaan dan semangat kerjasama,” katanya.

Li Qiangmemberi amaran bahawa dunia kini berada dalam fasa ketidaktentuan baharu, dengan tarif tinggi dan gangguan luar yang boleh menggugat keyakinan pasaran serta kestabilan rantaian bekalan. pertumbuhan serantau.

Li Qiang senada Anwar yang mana kedua-dua pemimpin itu menolak naratif dominasi kuasa luar dan menegaskan bahawa masa depan Asia Timur mesti ditentukan oleh ‘Asia untuk Asia’ berdasarkan saling hormat, solidariti dan tanggungjawab bersama.

Sementara itu, Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi mengimbau kewujudan ASEAN+3 di Kuala Lumpur pada 1997 sewaktu Krisis Kewangan Asia.

Beliau berkata, komitmen Tokyo memperkukuh inisiatif Chiang Mai dan mekanisme pembiayaan kecemasan baharu untuk menghadapi cabaran ekonomi serantau.

“Jepun menyokong penuh AOIP dan akan memastikan prinsip keterangkuman serta keterbukaan terus menjadi asas dalam kerangka ASEAN+3,” katanya.

Beliau merujuk kepada usaha menyelaras konsep Free and Open Indo-Pacific (FOIP) dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung menekankan kerjasama keselamatan dan ekonomi dalam menghadapi ancaman baharu seperti jenayah rentas sempadan dan pecahan rantaian global.

“Selepas 30 tahun, kita berdepan cabaran baharu seperti perlindungan dan penyusunan semula rantaian bekalan. Mengukuhkan kerjasama ekonomi dan kewangan intra-serantau amat tepat pada masanya,” ujarnya.

Tambah beliau, jenayah transnasional semakin menjejaskan keselamatan awam dan menyeru agar ASEAN dan Korea Selatan memperkukuh sistem tindak balas bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast