KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat berada di dalam sebuah beg ditemui di tepi rumah di Jalan USJ 9/5K, Subang Jaya dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar 10.27 pagi.
“Siasatan awal mendapati bayi malang yang cukup sifat itu ditemui di dalam sebuah beg berwarna biru dengan tulisan Mydin dengan tanpa pakaian dan uri masih berdarah.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan bayi terbabit memiliki berat 2.6 kilogram (kg) dan panjang 43 sentimeter (cm).
“Bayi perempuan itu juga kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan meninggalkan bayi dengan niat untuk membuangnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor T.Vanitha di talian 017-2229832 atau 03-7862 7222 (Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya)..
Wan Azlan berkata, polis menghargai keprihatinan orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat agar terus peka terhadap keselamatan komuniti sekeliling. – MalaysiaGazette
















