KUALA LUMPUR – Dua orang guru sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Georgetown berhubung tindakan merotan seorang pelajar sehingga mendatangkan kecederaan seperti dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.
Dalam kenyataan medianya, AGC berkata, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] selepas siasatan mendapati asas yang mencukupi untuk mendakwa kedua-dua guru berkenaan.
“Keputusan ini dibuat setelah penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang mendapati terdapat asas yang mencukupi bahawa kedua-dua orang guru yang dituduh tersebut telah melakukan tindakan melampaui peraturan yang ditetapkan,” demikian menurut kenyataan itu.
Pertuduhan difailkan pada 6 Oktober lalu masing-masing di Mahkamah Majistret (2) dan (3) Georgetown, Pulau Pinang.
Menurut AGC, keputusan itu diambil agar perlindungan terhadap kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tiada yang mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang yang ada.
AGC menegaskan tindakan mendakwa itu bukan bertujuan merendahkan martabat profesion perguruan sebaliknya dilakukan setelah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk hak dan kebajikan pelajar terlibat yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
“Setiap tindakan yang diambil adalah adil, seimbang dan berlandaskan prinsip undang-undang demi melindungi kepentingan semua pihak khususnya kanak-kanak dan golongan rentan,” tambah kenyataan itu.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berkenaan aduan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dibuli oleh gurunya di sekolah.
Katanya,semua pihak termasuk sekolah yang terlibat sudah dikenal pasti dan pelbagai pihak dilibatkan untuk memastikan isu itu dilihat secara menyeluruh.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, seorang pelajar perempuan OKU di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi di sebuah sekolah didakwa sering dibuli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma. – MalaysiaGazette
















