POLIS menahan seorang lelaki dipercayai mabuk selepas membuat kecoh di sebuah kuil di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah ditahan selepas membuat kekecohan di sebuah kuil di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian disedari anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas mengawal keselamatan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pengadu terdengar kekecohan dari sebuah restoran dalam kawasan kuil sebelum menemui lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai mabuk.

“Apabila diminta beredar, suspek bertindak menolak tempat pembakaran colok hingga abu colok bertaburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis dari Balai Polis Ampang.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek bertindak khianat di rumah ibadat ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast