Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat beberapa negara tidak dapat memberikan kerjasama untuk mengesan dua rakyat Malaysia kerana pertuduhan melibatkan hukuman sebat.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, meskipun SPRM mendapat bantuan Interpol, namun usaha mengekstradisi ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan peguam, Mansoor Saat sukar dilakukan.

“Memang ada kerjasama dengan Interpol dan sebagainya, ada di antara negara yang tidak dapat memberi bantuan melalui Interpol.

“Ini kerana salah satu negara itu saya tak nak sebut, kerana undang-undang kita dalam hal kami nak menuduh mereka adalah menyebabkan hukuman sebat.

“Bila negara berkenaan tiada hukuman sebat, mereka tidak boleh memberi bantuan dari segi ekstradisi pesalah-pesalah ke negara kita,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Azam berkata, siasatan SPRM terhadap Adlan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah selesai dan kini menunggu proses pertuduhan di mahkamah.

Azam dilaporkan berkata, SPRM selesai merakam percakapan semua saksi bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Dalam pada itu, Azam enggan mendedahkan keberadaan dua orang dalam buruan SPRM itu sambil menyifatkan mereka masih bebas sebagai buruan di luar negara.

“Saya tidak boleh memberi satu ketentuan di mana keberadaan beliau (Mansoor). Sama juga dengan Adlan, masih lagi berada luar negara seperti mana saya sebutkan semalam.

“Jadi pengesanan kepada kedua-duanya, termasuk Mansoor masih lagi dilakukan dengan bantuan daripada pihak-pihak luar negara, berdasarkan rangkaian kita, terutama sekali melibatkan KDN (Kementerian Dalam Negeri),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast