KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Majlis Makan Malam Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025 pada 17 November nanti.
Menurut KPKT, majlis berkenaan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada rakan-rakan media atas peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang berkesan tepat dan sahih kepada rakyat melalui pelbagai saluran.
“KPKT sentiasa menghormati peranan media dalam arus pembangunan negara dan menganggap media sebagai rakan strategik kementerian,” kata KPKT menerusi kenyataan.
Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan tahun ini antaranya Anugerah Khas Menteri, Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik dan Anugerah Video Portal/Dalam Talian Terbaik.
“Selain itu turut dipertandingkan Anugerah Penyiaran Radio Terbaik, Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik, Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik, Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer Terbaik,” katanya lagi.
Menurutnya, karya yang dipertandingkan adalah mengenai peranan dan tanggungjawab KPKT termasuk bidang perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Wira Merah Bomba,
kemampanan bandar, bandar pintar, pengurusan sisa pepejal, kitar semula, kredit komuniti serta skop tugas dan peranan jabatan serta agensi di bawah KPKT.
Katanya lagi, AkeMedia yang akan diadakan di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur tahun ini menerima 243 penyertaan setakat September lalu.
“Para finalis yang terpilih oleh Malaysia Press Institute (MPI) akan dijemput untuk menghadiri Majlis Makan Malam AKeMedia 2025 bagi memeriahkan acara penganugerahan berprestij tersebut,” tambahnya.
KPKT berkata, pengamal media dialu-alukan untuk hadir memeriahkan majlis di samping dapat memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik bersama-sama.
Pada masa ini, isu Kor Ming dengan wartawan sebuah syarikat media tempatan hangat diperkatakan susulan insiden pada sidang media majlis prapelancaran projek I Lite U yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 baru-baru ini.
Wartawan berkenaan pada mulanya bertanya kenapa majlis berkenaan tidak menggunakan Bahasa Melayu dan Kor Ming kemudian dikatakan ‘mengugut’ mahu mengadu perkara itu kepada ketua pengarang akhbar berkenaan.
Kor Ming kemudian menegaskan, dirinya sentiasa menghormati peranan media dan wartawan. – MalaysiaGazette
















