Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan keutamaannya kini adalah memperkukuhkan perpaduan politik orang Melayu dan umat Islam bukan berdebat soal siapa calon perdana menteri.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu menghormati pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung sebab mengapa Pas tidak mengumumkan calon perdana menteri namun menegaskan fokus utama ketika ini ialah penyatuan.

“Kita ambil perhatian pandangan Tun M dan kita hormati pandangan beliau. Apa pun keutamaan Pas adalah untuk menyatupadukan kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam agar kita boleh memimpin masyarakat berbilang bangsa yang berteraskan Islam sebagai kelompok terbesar dan mampu memimpin,” katanya.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu merujuk kenyataan Dr Mahathir mendakwa parti itu memilih untuk tidak menamakan calon perdana menteri kerana sedar statusnya yang belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pas sedar mereka tidak mampu untuk memenangi kerusi yang cukup untuk menguasai Putrajaya tanpa sokongan lebih meluas terutama di luar kawasan tradisi mereka di Pantai Timur.

Annuar seterusnya menegaskan, tiada guna berpolitik soal calon perdana menteri sekiranya kekuatan politik masih belum kukuh.

“Tiada guna kita berpolemik calon PM jika kita tiada kekuatan. Apa lagi jika isu itu menambah kegawatan dan perpecahan,” ujarnya.

Beliau mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan syarat siapa yang layak menjadi perdana menteri.

Malah katanya, seseorang ahli Parlimen itu perlu terlebih dahulu mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Bila tiba masanya, jika ada seseorang dari Pas yang menepati syarat tersebut serta dengan izin Allah maka dialah bakal menjadi perdana menteri,” katanya.

Annuar berkata, ketika ini bukan masanya untuk mendahulukan isu jawatan sebaliknya menumpukan usaha membina kekuatan melalui penyatuan dan muafakat.

Beliau menegaskan, Pas sentiasa terbuka dan bersederhana dalam soal jawatan serta pangkat kerana jawatan adalah amanah yang berat.

“Keutamaan sekarang ialah membina kekuatan dengan mengutamakan penyatuan dan muafakat. Insya-Allah,” katanya.

Untuk rekod, Pas ketika ini mempunyai 43 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak mengatasi DAP, PKR dan juga rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast