Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan meletakkan seramai 80 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada hujung bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini perbincangan akhir calon semakin hampir dimuktamadkan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, perbincangan tersebut telah mencapai tahap 95 peratus.

“Saya rasa hampir 80 peratus adalah wajah baharu,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ditanya sama ada BN Sabah akan bertanding 48 kerusi pada PRN itu nanti, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengumumkan perkara itu pada minggu depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sabah disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.

Pada pilihan raya ke-16 2020, PRU DUN itu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersaru Sabah (PBS) serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah apabila memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Sementara Parti Warisan pula, memperoleh 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.

GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) serta tiada penyertaan BN dan Pas dalam GRS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast