Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam membendung gejala murtad dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu yang didakwa semakin membimbangkan.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, gejala kerosakan akidah yang menjadi sebab kepada murtad atau terkeluar daripada Islam semakin menular di negara ini sama ada melibatkan ajaran sesat atau membabitkan pertukaran agama.

Malah, menurut beliau, perkara itu turut mendapat perhatian serius oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan perundangan berasaskan Islam.

Bahkan kemunculan gerakan-gerakan sesat semakin bercambah saban tahun, sekali gus mendorong kepada isu murtad iaitu keluar daripada Islam dan menganuti agama lain.

“Jadi, apa peranan JAKIM khususnya bahagian dakwah dalam membendung gejala murtad yang melibatkan orang Islam dan komuniti Melayu ini,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Mohd Misbahul Munir turut memberi peringatan berkenaan kemunculan gerakan yang dikenali Angkatan Murtadin Malaysia (AMM) suatu ketika dahulu iaitu kumpulan yang menjadi wadah kepada individu yang berhasrat untuk murtad.

Jelasnya, misi AMM adalah menyokong komuniti murtad dengan menyampaikan kepada masyarakat berkenaan permintaan golongan itu serta hak untuck meninggalkan Islam.

Selain itu, dakwa beliau, ideologi murtad turut diperjuangkan oleh kumpulan tertentu menerusi laman sosial antaranya halaman Mr. Murtad di Facebook yang meskipun kini dilihat tidak begitu aktif namun tidak boleh dibiarkan.

“Page (halaman) seperti ini aktif menyebarkan pengaruh dan hak-hak kebebasan untuk beragama dan pada masa sama memburuk-burukkan agama dengan idea-idea penindasan dalam kehidupan beragama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast