KUALA LUMPUR – Kempen mengibarkan Jalur Gemilang akan digerakkan lebih awal dan bukan hanya pada bulan kebangsaan bagi mengelak insiden kesilapan mengibarkan bendera negara seperti yang berlaku sebelum ini berulang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha itu boleh dirancakkan menerusi peranan pegawai-pegawai Jabatan Penerangan di setiap daerah dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang rasa cinta kepada negara.
Mengulas mengenai kejadian kesilapan paparan Jalur Gemilang sebelum ini, Fahmi berkata, ia lebih menjurus kepada aspek kesilapan mekanikal yang boleh diperbaiki.
“Insiden kesilapan paparan atau mengibar Jalur Gemilang itu berlaku merentasi parti politik.
“Kita dapati ada pihak yang mungkin terlau mudah menghasilkan gambar atau imej menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga mereka tidak sempat untuk mengira jalur, atau sama ada bucu bintang pada Jalur Gemilang itu cukup dan sebagainya.
“Ini kecuaian yang saya rasa perlu diperbaiki oleh kita semua, tetapi hasrat mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu terbit daripada hati dan sanubari,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi (PH-Lembah Pantai) menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung langkah konkrit yang perlu diambil Kementerian Komunikasi bagi mengelak insiden kesilapan paparan Jalur Gemilang berulang.
Sementara itu, kepada soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung sikap generasi muda atau Gen Z yang disifatkan tidak menganggap soal patrotisme sebagai sesuatu yang penting, Fahmi berkata, kumpulan itu perlu didekati dengan cara berbeza.
Jelasnya, Gen Z serta Gen Alpha lebih banyak menerima dan mendapatkan maklumat termasuk berkenaan isu-isu kenegaraan serta patriotisme menerusi platform media sosial.
“Mungkin kalau dulu pendekatan seperti taklimat atau syarahan itu lebih sesuai, tetapi untuk Gen Z dan Gen Alpha ini, kita kena `bercakap’ dengan cara mereka, mungkin perlu menggunakan platform seperti Roblox misalnya untuk menaikkan dan menyemarakkan rasa cinta kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette















