KUALA LUMPUR –Seorang pelanggan wanita ’naik angin’ sehingga mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menyimbah minuman ke aras barista sebuah rangkaian kedai kopi popular.
Rakaman insiden yang tular di media sosial itu menunjukkan ia bermula antara pelanggan dan pekerja terbabit bertengkar dipercayai berpunca daripada kelewatan dalam penyediaan minuman.
Berdasarkan pertuturannya, pelanggan tersebut dipercayai berasal dari China.
Netizen mendakwa pelanggan terbabit turut menggunakan kata-kata kesat termasuk memanggil barista sebagai “perempuan gemuk” sebelum suasana menjadi tegang.
Menerusi video berdurasi 1 minit itu, barista berkenaan meminta pelanggan tersebut keluar dari premis.
Namun dia enggan berbuat demikian sebaliknya menumpahkan minuman di kaunter sebelum menyimbahnya ke arah barista.
Selain itu, kapsyen pada video tular berkenaan turut mendakwa barista menunjukkan isyarat jari tengah terhadap pelanggan, namun dakwaan itu belum dapat dipastikan kesahihannya kerana ia tidak dirakam.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial dengan ramai netizen menyebelahi barista dan mengecam tindakan pelanggan yang dianggap biadab serta menghina.
Bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial yang menasihatkan agar pekerja kedai kopi mengekalkan profesionalisme.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak termasuk rangkaian kedai kopi berkenaan.- Malaysiagazette
















