PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah membangkitkan isu rombakan Kabinet dalam mana-mana mesyuarat jemaah menteri setakat ini, jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, soal rombakan Kabinet adalah hak mutlak dan prerogatif Perdana Menteri termasuk menentukan siapa yang layak menganggotai barisan menteri dan timbalan menteri.
“Tidak pernah ada perbincangan dalam Kabinet untuk menyusun semula Kabinet. Itu hak mutlak Perdana Menteri.
“Beliau mempunyai kuasa sepenuhnya untuk merombak Kabinet dan melantik sesiapa yang patut berada sebagai anggota Jemaah Menteri atau Timbalan Menteri,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi rombakan Kabinet bakal berlaku susulan beberapa menteri yang akan menamatkan tempoh sebagai Ahli Dewan Negara dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan memberi bayangan rombakan Kabinet mungkin berlaku dalam dua hingga tiga minggu akan datang ketika berucap di Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025.
Tempoh Zambry sebagai senator dijadual berakhir pada 2 Disember 2025 selepas beliau mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022. Beliau pernah memegang portfolio Menteri Luar sebelum memimpin Kementerian Pendidikan Tinggi.
Turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri akan berlangsung petang ini dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Jelasnya, mesyuarat khas itu antaranya akan meneliti pendirian kerajaan sama ada akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus pemberian hasil Persekutuan kepada Sabah.
“Khususnya mengenai tuntutan 40 peratus yang dimohon Sabah seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar menegaskan, kerajaan akan memuktamadkan keputusan sama ada untuk memfailkan rayuan, namun menegaskan isu rombakan Kabinet tidak berada dalam agenda mesyuarat tersebut.
Sebaliknya tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada perbincangan berhubung langkah seterusnya berkaitan keputusan mahkamah itu. – MalaysiaGazette
















