Yahaya menunjukkan 240 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis bunga ganja yang berjaya dirampas pada minggu lalu di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis berjaya mematahkan sindiket dadah selepas menemui 140.4 kilogram (kg) ganja bernilai RM5.04 juta yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta di tapak projek ECRL, Jalan Lama Bentong–Bukit Tinggi di Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penemuan dadah itu hasil daripada maklumat awam memaklumkan terdapat sebuah Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan kira-kira 11.30 pagi pada 4 November lalu.

“Pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Bentong bersama Balai Polis Bukit Tinggi. Tiada pemandu atau penumpang ditemui di dalam kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 240 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis bunga ganja disembunyikan dalam beberapa kotak dan guni, dengan jumlah berat keseluruhan 140.4 kilogram,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Menurut Yahaya, harga pasaran bunga ganja mencecah RM36,000 sekilogram berdasarkan nilai rampasan keseluruhan dadah berkenaan.

Semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta itu milik seorang lelaki tempatan beralamat di Johor Bahru.

Susulan itu polis kini sedang mengesan pemilik berkenaan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast