Datuk Seri Yahaya Othman.

KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mengangkut dadah jenis ganja seberat 98 kilogram (kg) di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Maran menghala ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan kira-kira  7 malam  pada 6 November lalu berdasarkan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Maran.

“Pemeriksaan terhadap kereta Perodua Ativa yang dipandu suspek menemukan 102 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi ganja disimpan dalam beberapa kotak dan guni pelbagai warna.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM303,800 dengan harga pasaran sekitar RM3,100 sekilogram.

“Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai transporter dan mengaku menerima upah antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap penghantaran,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.

Manakala hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine.

Polis turut mengesan lelaki itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kanun Keseksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN di 012-2087222.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast