Seorang wanita maut digilis selepas motosikal diboncengnya kemalangan di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang wanita maut digilis lori selepas motosikal diboncengnya terlibat kemalangan semasa cuba mencilok antara dua lori di Kilometer 55.6 Jalan Batu Pahat-Mersing di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 3.15 petang melibatkan motosikal Yamaha 135LC dinaiki mangsa dan anaknya serta dua lori.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Batu 4 menghala ke pusat bandar ini.

“Semasa tiba di tempat kejadian motosikal terbabit yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan dibonceng ibunya berusia 59 tahun dari arah yang sama telah hilang kawalan semasa cuba mencelah antara lori tersebut dan sebuah lori lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, motosikal itu bersama-sama penunggang jatuh atas jalan raya manakala ibunya jatuh di bahagian tayar belakang lori tersebut dan dilanggar.

Katanya, wanita tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan dada, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bahrin memberitahu, anaknya pula mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki, kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Sementara pemandu lori terbabit katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana bali polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822 (tablet DCC),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast