SHAH ALAM – Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu bagi penugasan berjumlah RM14,256 kepada kepada Daikin Malaysia Sdn Bhd Sungai Buloh.
Tertuduh, Palanivelu A/L Balakrishnan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, Palanivelu didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang mengandungi tuntutan bayaran penugasan RELA bagi bulan April 2023 di Pejabat Daikin Malaysia Sdn. Bhd. pada pada 8 Mei dua tahun lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada lelaki berusia 60 tahun ini.
Tertuduh juga diperintahkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berlangsung.
Terdahulu, Palanivelu membuat rayuan supaya jumlah jaminan terhadapnya dikurangkan kerana jumlah yang dicadangkan pihak pendakwaan sebanyak RM25,000 terlalu banyak.
“Saya ada dua orang anak dalam tanggungan, saya rayu kurangkan saya hanya boleh bayar RM3,000,” katanya yang tidak diwakili peguam.
Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri.
Sementara itu, mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 Januari 2026.-MalaysiaGazette
















