Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.

KUALA LUMPUR -Tempoh perkhidmatan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat pada 15 Ogos 2026 dipendekkan kepada esok, 14 November.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pemendekan tempoh perkhidmatan Maimunah adalah bagi memberi ruang kepada beliau untuk ditempatkkan di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi nasional yang diberi peranan untuk membangunkan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.

Katanya, perkara tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Shamsul Azri yang mewakili Kerajaan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Maimunah atas segala jasa dan bakti serta legasi yang dicipta dalam membawa nama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke satu tahap yang amat membanggakan sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan Datuk Bandar.

Maimunah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2024 bagi kontrak selama dua tahun.

Dalam satu kenyataan berasingan, Petronas mengumumkan pelantikan Maimunah sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November 2025.

Katanya, Maimunah akan memainkan peranan penting dalam membentuk fasa pertumbuhan seterusnya bagi portfolio hartanah syarikat, khususnya melibatkan tanah di Sungai Besi, Kota Madani serta pembangunan hartanah lain.

“Datuk Seri TPr (Dr.) Maimunah merupakan seorang pemimpin berwibawa di peringkat global dan teknokrat bertauliah dengan lebih 40 tahun pengalaman dalam pembangunan bandar mampan.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Perancangan Bandar dari University of Wales Institute of Science and Technology serta Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar dari Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Beliau mempunyai pengalaman luas dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di Malaysia termasuk sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang.

Dalam kerjayanya yang cemerlang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan peranan kepimpinan global, beliau merupakan wanita Asia pertama dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Pengarah Pejabat PBB di Nairobi.

Sepanjang kerjaya gemilangnya, D Maimunah telah dikurniakan gelaran Profesor Kehormat di Bartlett School, University College London dan dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya.

Baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards (Barcelona) serta Anugerah Kepimpinan Terbaik Kategori ‘Bandar’ daripada Kementerian Perumahan (Malaysia).

“Pengurusan PETRONAS mengalu-alukan kehadiran Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah dan yakin bahawa ilmu serta pengalaman beliau akan menjadi aset bernilai kepada syarikat,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast