KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai medan penentuan masa depan negara yang kini berdepan pelbagai masalah dan cabaran kronik, bukannya sekadar pertandingan lima tahun sekali.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, keadaan negara menuntut pemimpin berfikir melangkaui kepentingan parti dan emosi, demi memastikan Malaysia kembali stabil serta bebas daripada tekanan ekonomi yang terus membebankan rakyat.
“Negara telah kehilangan kedaulatan kemerdekaan dari segi kebebasan ekonomi dan rakyat semakin tertekan kerana kos sara hidup. Waktu untuk semua pihak bersifat terbuka demi menyelamatkan negara sudah tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ibrahim, Perikatan Nasional (PN) kini muncul sebagai alternatif paling diyakini rakyat kerana mempunyai struktur kepimpinan yang stabil serta rekod tadbir urus yang meyakinkan.
Beliau memuji keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara berada pada saat paling genting serta peranan moral Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mempertahankan prinsip perjuangan.
“Dua tunjang inilah yang menjadikan PN bahtera harapan rakyat. Tetapi, harapan tanpa strategi hanyalah mimpi,” ujarnya.
Ibrahim berkata, PRU16 tidak boleh lagi disertai secara solo oleh mana-mana parti pembangkang, sebaliknya memerlukan satu gabungan besar yang disatukan di bawah kepimpinan PN.
Katanya, kerajaan sedia ada memiliki kelebihan melalui agensi, naratif, media, projek serta sokongan kewangan, justeru perpecahan dalam kalangan pembangkang hanya akan “membocorkan undi dan memindahkan kemenangan kepada pihak lawan”.
“Ini bukan teori, ini realiti politik. Jika pembangkang bergerak secara terpisah, undi akan pecah walaupun PN dilihat kuat,” katanya.
Beliau menekankan keperluan pembahagian kerusi secara awal dan profesional, berasaskan kekuatan akar umbi, data pilihan raya lalu, demografi serta strategi pecahan undi.
“Kerusi bukan soal ego. Ia soal menang atau kalah. Rundingan mesti bermula sekarang, bukan dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan,” ujarnya.
Ibrahim berkata, pengalaman politiknya menunjukkan bahawa PN perlu memulakan langkah lebih awal jika mahu memastikan kemenangan dalam PRU16.
“Jika PN tunggu gelombang, undi Melayu, marhain dan belia akan pecah. Bila undi pecah, siapa pun kuat, kemenangan akan terbang,” katanya.
Ibrahim merumuskan bahawa pembentukan blok pembangkang bersepadu adalah peluang terbaik untuk menyelamatkan negara dan mengembalikan maruah bangsa.
“Saya bersuara sebagai seorang yang mahu melihat negara kembali stabil dan bermaruah. Jika PN berjaya memimpin pembentukan blok ini, sejarah akan mencatat PRU16 sebagai titik kebangkitan baharu negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















