KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mempertahankan hak kedaulatannya dalam sektor unsur nadir bumi (REE) walaupun ada perjanjian yang ditandatangani, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu memberi jaminan tiada bentuk penjajahan moden akan dibenarkan bertapak di negara ini.
Tegas beliau, kekayaan REE diakui boleh mendedahkan negara kepada kelemahan strategik seperti era penjajah dahulu namun keadaan hari ini berbeza sama sekali.
“Walaupun perjanjian tertentu telah ditandatangani, Malaysia mengekalkan kuasa penuh membuat keputusan melalui proses seterusnya.
“Kita masih mempunyai proses yang membolehkan kita mempertahankan hak kita sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Sebelum merdeka, banyak kuasa boleh menjajah kita. Tetapi hari ini kita sudah merdeka, kita semua ada bijak pandai di negara ini.
“Sesiapa yang ingin melabur boleh datang, tetapi mereka mesti lalui proses yang kita hendak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mahu kerajaan memberi jaminan penjajahan tidak berulang seperti di zaman penjajah menerusi REE.
Johari turut menegaskan bahawa pelabur asing ‘tidak boleh masuk begitu sahaja’ terutamanya dalam industri REE di mana pelbagai lapisan penilaian diperlukan untuk menjaga kepentingan negara.
“Bagi REE, hanya mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan tidak mencukupi. Rizab itu dalam kerajaan negeri. Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri mesti sama bertanggung jawab,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelabur perlu terlebih dahulu mewajarkan lokasi tepat pengekstrakan, membuktikan ketersediaan rizab dan menunjukkan bahawa kemudahan hiliran seperti loji pemprosesan adalah berdaya maju serta memberi faedah ekonomi.
“Di mana anda mahu melakukannya? Jika ia di luar hutan simpan kekal, kita perlu tahu berapa banyak rizab yang ada, berapa banyak pekerjaan yang akan diwujudkan, berapa banyak cukai yang akan dibayar, apa yang kerajaan negeri dapat dan berapa banyak cukai korporat.
“Mereka mesti melalui semua ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















