KUALA LUMPUR – Mayat lelaki dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu, ditemui pada jarak kira-kira 65 kilometer (km) dari tempat mangsa dilaporkan jatuh.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mayat mangsa berusia 37 tahun itu ditemui oleh pasukan penyelamat di kawasan perangkap sampah Kampung Sungai Kandis, Shah Alam jam 10.30 pagi tadi.
“Pasukan ke lapan menemui satu mayat terapung di kawasan perangkap sampah di Sungai Kandis dan hasil pemeriksaan mengesahkan itu adalah mangsa dilaporkan hilang berdasarkan tatu pada lengan kanan dengan nama bertulis ‘Suresh’.
“Keadaan mayat ditemui dalam keadaan sempurna namun sudah membengkak dengan pakaian sedikit koyak dan tanpa kasut dan walaupun sudah lima hari dilaporkan hilang dan pengecaman fizikal turut dilakukan serta pengesahan dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
“Pencarian hari ini bermula jam 8 pagi tadi melibatkan 13 pasukan penyelamat dan skala pencarian juga diperluaskan sejauh 30km dimulakan daripada Kampung Tengah, Puchong menghala ke Klang,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan dijangka akan diserahkan semula kepada ahli keluarga esok.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini melibatkan kekuatan seramai 200 orang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandarya Kuala Lumpur (DBKL) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kawasan pencarian mangsa ini dilakukan secara berperingkat yang mana hari pertama sejauh 20km, hari kedua kita pergi sejauh 26km dan seterusnya sehingga semalam adalah 36km dan hari kelima ini diperluaskan lagi,” jelasnya.
Sazalee memaklumkan, operasi SAR terbabit ditutup sepenuhnya pada 3 petang tadi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette.
















