KUALA LUMPUR – Situasi banjir yang sering berlaku di kebanyakan kawasan yang sama pada setiap tahun menimbulkan penderitaan yang tidak berkesudahan kepada rakyat.
Malah, fenomena itu kini dilapor merebak ke lebih banyak kawasan termasuk lokasi yang sebelum ini tidak pernah terjejas.
Pemangku Ketua Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putera), Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan besar terhadap keberanian kepimpinan negara dan tahap kebertanggungjawaban pentadbiran kerajaan dalam menangani isu banjir.
Menurutnya, lebih RM15 bilion telah diperuntukkan sejak 2022 untuk projek tebatan banjir jangka panjang sehingga 2030, namun selepas empat tahun, hampir tiada perubahan ketara yang dirasai rakyat.
Beliau menegaskan, rakyat berhak bertanya ke mana hilangnya keberkesanan projek-projek tersebut apabila setiap musim hujan masih menyaksikan rakyat meredah air bah, mengangkat perabot rosak dan memulakan hidup dari sifar.
“Ini bukan soal cuaca. Ini soal kegagalan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Izwan berkata, meskipun Malaysia memiliki pelbagai jabatan teknikal di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pengurusan banjir masih berada pada tahap sama seperti dua dekad lalu tanpa pembaharuan, ketegasan keputusan atau kebertanggungjawaban.
“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan. Rakyat tidak mahu lagi melihat projek diumumkan tanpa keberkesanan yang nyata,” ujar beliau sambil mendakwa pentadbiran hari ini dilihat lebih sibuk merasmikan projek berbanding memastikan projek tersebut benar-benar menyelamatkan rakyat.
Sehubungan itu katanya, Putra menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan mekanisme pampasan setara, iaitu dasar mewajibkan mana-mana agensi atau pihak pelaksana membayar pampasan sekiranya projek yang dibangunkan gagal berfungsi sehingga menyebabkan banjir yang merosakkan harta benda rakyat.
“Jika kerajaan benar-benar yakin projek tebatan banjir mereka berkesan, mereka seharusnya tidak takut kepada mekanisme ini.
“Tetapi jika keberatan, rakyat berhak bertanya: apa yang ingin disembunyikan dan siapa yang cuba dilindungi?” katanya.

Mohamad Izwan menjelaskan, mekanisme itu akan menghentikan budaya “cukup sekadar siap”, memaksa agensi lebih berdisiplin, telus dan bertanggungjawab, selain melindungi rakyat yang selama ini menanggung kerugian tanpa sebarang ganti rugi.
“Kita tidak boleh menjadi negara maju dengan mentaliti ‘asal siap’. Kita tidak boleh menjadi negara maju jika rakyat terus menjadi mangsa banjir berulang.
“Jika banjir terus berulang, kerugian terus ditanggung rakyat, dan projek terus gagal, maka jelaslah Malaysia tidak memerlukan lebih banyak slogan; Malaysia memerlukan keberanian untuk berubah,” katanya sambil menyatakan rakyat berhak memiliki kerajaan yang serius serta perubahan dasar yang sebenar, bukan sekadar retorik. – MalaysiaGazette
















