KUALA LUMPUR – Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung klip video yang disiarkan di akaun Facebook (FB) Pejuang, Tun Dr. Mahathir yang didakwa sebagai tohmahan ke atas Ketua Pesuruhjayanya.
Menurut sumber, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini penyiaran rakaman video perbualan melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong bersama ahli perniagaan bernama Albert Tei.
“Laporan polis ini bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menyiasat tohmahan sebagaimana disebut dalam perbualan itu bahawa seorang individu telah berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta supaya diringankan kes dihadapi Albert Tei dan supaya kes itu diselesaikan secara baik dan tidak berlarutan.
“Dalam laporan polis itu juga, pegawai SPRM berkenaan turut menyebut bahawa kandungan video terbabit berniat jahat bagi menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan siasatan SPRM adalah telus dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya.
Sumber berkata, perbualan wanita dan ahli perniagaan sebagaimana dalam klip video terbabit adalah berniat jahat bukan sahaja bagi menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebaliknya dipercayai bagi mencemar imej dan kredibiliti SPRM.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM mengesahkan mengenai laporan polis itu dan berkata, ia bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kedua-dua individu berkenaan. – MalaysiaGazette
















