Operasi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand akibat banjir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan seramai 1,459 rakyat Malaysia yang terjejas banjir di Hatyai telah berjaya dipindahkan dengan selamat ke pintu sempadan Bukit Kayu Hitam (BKH) melalui operasi bersepadu yang diselaraskan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Menurut kenyataan KLN hari ini, pemindahan besar-besaran itu melibatkan rakyat Malaysia yang menginap di lebih 25 hotel sekitar Hatyai dan telah dilaksanakan sejak semalam dalam keadaan terkawal serta teratur.

“Menjelang akhir hari, hanya dua hotel dikenal pasti masih belum dapat diakses berikutan paras air yang masih tinggi. Berdasarkan anggaran semasa, kurang daripada 300 rakyat Malaysia masih terkandas dan operasi pemindahan akan diteruskan hari ini.

“Diharapkan operasi hari ini dapat melengkapkan pemindahan baki mangsa, namun usaha akan diteruskan sehingga disahkan semua rakyat Malaysia yang terjejas telah dibantu dengan selamat,” menurut kenyataan tersebut.

Wisma Putra memaklumkan kejayaan itu dicapai hasil kerjasama erat antara Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Tentera Diraja Thailand serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang terlibat secara langsung dalam misi menyelamat.

Selain itu, satu operasi khas membabitkan 38 pelajar universiti dan pensyarah Malaysia turut berjaya dilaksanakan antara jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dengan bantuan Tentera Diraja Thailand.

Dalam perkembangan sama, hujan yang telah reda menyaksikan paras air banjir surut dengan ketara pada Khamis lalu, sekali gus membolehkan kenderaan berat memasuki kebanyakan kawasan, kecuali beberapa lokasi yang masih berdepan paras air tinggi.

Kementerian berkata, semua usaha akan diteruskan sehingga proses pemindahan disempurnakan sepenuhnya dan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terjejas dapat dipastikan.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan kehadiran atau yang lokasinya belum dikenal pasti disaran segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla atau Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast