KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan sekadar kesilapan pentadbiran, tetapi satu ‘kerosakan integriti struktur’ yang boleh membawa negara ke fasa ‘risiko menjadi tahanan kehakiman’.
Naib Presiden Putra, Brigedier Jeneral (B) Adnan Abu Hassan berkata, situasi itu dianggap antara amaran institusi paling serius dalam sejarah kehakiman negara.
Katanya, beliau telah melihat beberapa era pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini dan berpendapat belum pernah lagi wujud keputusan kerajaan yang didakwa mencabar batas perlembagaan, titah Raja dan norma tadbir urus secara serentak.
“Putra menyifatkan kedudukan JAC tidak pernah berada dalam keadaan sedemikian berisiko dan menzahirkan kekesalan kerana perkara itu berlaku di bawah kerajaan yang membawa slogan reformasi.
“Parti menegaskan, apa yang sedang berlaku menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen kerajaan terhadap prinsip pemisahan kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan terhadap titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang disifatkannya sebagai satu ‘amaran perlembagaan’.
Beliau menegaskan, amaran itu membawa maksud wujudnya pelanggaran norma, kerosakan struktur dan risiko campur tangan politik dalam isu pelantikan tersebut.
“Putra menegaskan sokongan penuh terhadap titah Tuanku yang meminta supaya pelantikan berkenaan disemak, dihentikan dan dibatalkan,” ujarnya.
Menurut Adnan lagi, kerajaan tidak boleh mengabaikan isyarat institusi tertinggi negara apabila membabitkan kepentingan kehakiman.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, isu utama bukanlah individu tersebut, tetapi motif politik yang beliau dakwa ada di sebalik keputusan Perdana Menteri.
Beliau turut mendakwa, terdapat persepsi negatif yang lama bersangkut dengan nama Terrirudin namun menegaskan Putra hanya menekankan kepentingan mengelakkan sebarang perception liability dalam institusi kehakiman.
Adnan turut merujuk kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang sebelum ini dilaporkan menyebut bahawa pelantikan tersebut menjejaskan kredibiliti agenda reformasi.
Katanya lagi, apabila tokoh utama reformasi sendiri mempersoalkan keputusan kerajaan, ia menunjukkan tahap kritikal persepsi awam terhadap pentadbiran.
Dalam perkembangan sama Adnan menjelaskan keperluan memastikan ahli JAC bebas daripada persepsi pengaruh eksekutif serta pentingnya memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman.
Putra mendakwa, pelantikan itu juga bertentangan dengan semangat reformasi yang diperjuangkan gabungan kerajaan selama dua dekad.
Selain itu, parti itu menegaskan titah Raja perlu diutamakan dan institusi kehakiman tidak boleh dijadikan medan kepentingan mana-mana pihak.
Adnan turut memberi peringatan JAC bukan platform untuk kepentingan politik atau penempatan individu tertentu. PUTRA menegaskan bahawa integriti sistem kehakiman adalah asas kepada kedudukan negara dan sebarang kerosakan terhadapnya akan memberi kesan langsung kepada kestabilan kerajaan. – MalaysiaGazette
















