Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – “Kalau soal mengapa tidak dipecat awal, saya nak tegaskan tuntutlah bagaimana, kita tidak pecat pegawai kerana tulis surat minta dipertimbangkan”.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada surat meminta pertimbangan atau perhatian oleh bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin tidak sepatutnya dijadikan modal pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Sebaliknya beliau berkata, perkara yang lebih serius  sekiranya wujud pengaruh atau cuba memberikan arahan seperti yang didakwanya berlaku di dua negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Tetapi yang saya anggap hipokrasi di sini adalah tidak sepatah pun menyebut surat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu minta luluskan, hipokrasi apa ini? Satu itu mengarahkan supaya diluluskan, tidak disebut.

“Saya di Parlimen, saya bertanggungjawab (buktikan) ini surat Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Utiliti Terengganu, nak tahu lagi kah? Apa benda ini? Nyata surat ini ada.

“Saya nak elak sebab ini Parlimen kita biarkan siasatan dilakukan. Saya sebut sebab nak tunjuk pembangkang tidak konsisten. Satu kes minta lulus tiada isu tapi satu kes minta pertimbangan adalah isu besar.

“Jadi, saya nak tegaskan, surat minta pertimbangan atau minta perhatian itu bukan jadi masalah. Cuma bentuk sekiranya diandaikan mempengaruhi itu masalah termasuk mengarahkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Perikatan Nasional) semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Mas Ermieyati sebelum itu bertanya mengapa Anwar tidak mengikuti nasihat Ahli Parlimen Pandan, Datuk Rafizi Ramli supaya Shamsul Iskandar dipecat lebih awal atas perbuatannya menulis surat sokongan kepada enam kontraktor bagi projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dengan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meskipun melibatkan kakitangannya.

Namun ujarnya, pihak pembangkang sering bertindak mempertahankan individu mengikut kepentingan sendiri.

“Dalam kes yang sekarang ini disiasat SPRM, nak suruh buat apa lagi? Orang itu digari, pakai baju oren, kalau saya pengaruh banyak kes-kes berat lain tidak digari pun. Tidak puas hati lagikah? Saya tidak tegur sepatah kepada SPRM, saya sudah bagi tahu SPRM bebas untuk siasat.

“Jadi, setakat ini SPRM siasat, tiada maklumat sampai kepada saya dan saya tidak campur tangan. Saya tidak pertahankan kakitangan saya.

“Saya nak tanya kenapa mahu pertahankan orang lain? Pembangkang ada trend pertahankan perasuah-perasuah besar termasuk orang yang telah mengatakan ya, saya sudah beri rasuah.

“Itu pun nak jadi hero? Bila kita buat siasatan kepada mantan Menteri Kewangan (Tun Daim Zainuddin) yang ada berbilion dalam negara dan luar, ada bank yang simpan duitnya, bila kita siasat Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bangun pertahankan, ini sebagai contoh.

“Tapi pembangkang kata dia sakit, dia orang tua. Jadi sekarang bagi pembangkang kalau dia tua tapi mencuri tidak mengapa? Saya cuma cadangkan Parlimen harus digunakan dengan sebaiknya untuk mengatakan jangan beri perlindungan pada mana-mana perasuah,” tambahnya.

Sebagai rekod, Shamsul Iskandar ditahan reman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast