KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memastikan 201 lelaki yang ditahan di sebuah pusat spa yang dijadikan sarang aktiviti songsang di Chow Kit, di sini, baru-baru ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran bukan hanya kepada yang ditahan malah kepada masyarakat secara umumnya.
Menurutnya, antaranya kesemua mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 377 D iaitu kelucahan melampau.
“Jadi saya minta supaya pendakwa raya menasihati polis bagaimana untuk dakwa kepada kumpulan lelaki yang ditangkap yang gagal direman itu, kerana banyak lagi cara lain yang boleh digunakan antaranya Seksyen 377 D iaitu kelucahan melampau.
“(Kerana) mereka telah ditangkap dalam keadaan yang sangat mencurigakan ada yang dikatakan tidak berpakaian. Itu sudah dikira sebagai kelucahan melampau.
“Sebenarnya kita minta kerajaan cari jalan untuk kenakan tindakan supaya jadi pengajaran kepada yang lain,” katanya ketika sidang media Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Parlimen, hari ini.
Tegas beliau, kegagalan pendakwaan terhadap kesemua yang ditahan polis baru-baru ini berisiko mengancam kestabilan budaya dan negara, kerana ia membabitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Terdahulu, Marzuk menyifatkan kegagalan mengheret kesemua yang ditahan baru-baru ini menunjukkan kerangka undang-undang dalam negara tidak berfungsi dengan baik.
Justeru, beliau berpendirian sudah tiba masanya kerajaan meminda Seksyen 377 A dan B Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kesalahan seks luar tabii, termasuk perbuatan liwat dan niat.
Jelasnya, seksyen berkenaan perlu menakrifkan kesalahan perbuatan songsang dan percubaan melakukannya.
“Kegagalan ini bukan kegagalan polis semata-semata tapi kegagalan rangka undang-undang yang ada dalam negara kita. Undang-undang yang ada dalam negara kita ini digubal pada pra merdeka. Jadi ia sudah lama sepatutnya kerajaan melihat secara lebih komprehensif supaya dibuat beberapa pindaan undang-undang.
“Jangan mensabitkan orang yang buat perlakuan sodomi ini dengan mesti berlakunya penetrian sedangkan banyak lagi undang-undang yang boleh diguna pakai. Dan mungkin kerajaan perlu pinda Seksyen 377 A supaya memasukkan soal berkaitan niat untuk melakukan gejala songsang dan sudah boleh disabitkan kes pelanggaran undang-undang dalam negara kita,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan membuang penjawat awam yang terlibat dalam serbuan berkenaan dilihat ironi dengan kegagalan untuk mensabitkan mereka di mahkamah.
“Kita tengok senarai pegawai kerajaan akan dikenakan tindakan dibuang kerja. Tapi apa dakwaan kepada mereka? Reman tidak boleh tapi nak buang kerja. Kalau sekiranya didakwa dan disabitkan kesalahan kerajaan boleh ambil tindakan,” beliau berkata.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, 171 dari 201 lelaki yang ditahan dalam serbuan pusat spa yang dijadikan sarang lelaki gay di Chow Kit sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, ia susulan permohonan reman ke atas mereka pada 30 November ditolak oleh Mahkamah Majistret atas alasan lewat dikemukakan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan penguatkuasaan undang-undang untuk mengheret perbuatan songsang berkenaan ke muka pengadilan.
Daripada semua yang ditahan 17 orang merupakan penjawat awam, 31 pula warga asing.-MalaysiaGazette
















