KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menyertai Kabinet Sabah demi mewujudkan kestabilan politik di negeri berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, umum maklum bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya baru-baru ini memenangi 29 kerusi yang tidak cukup untuk membentuk kerajaan sendirian.
Justeru katanya, melalui perbincangan, kedua-dua parti tersebut sepakat supaya BN turut menyertai Kabinet Sabah kali ini.
“Mereka harus mengetahui hal ini dan mereka harus mengetahui jika di Putrajaya kita mempunyai kerajaan perpaduan maka atas semangat untuk mewujudkan kestabilan politik.
“Maka, BN bersama-sama dengan GRS telah mempersetujui bagi memulakan pembentukan kerajaan perpaduan diikuti oleh parti-parti yang lain termasuk lima daripada bebas yang asalnya juga daripada, GRS dan parti-parti yang lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025 (Cyberjaya Conversation Summit 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai, sekumpulan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS dan Bebas didakwa tidak berpuas hati terhadap keputusan GRS yang membenarkan BN Sabah menyertai kerajaan baharu yang dibentuk Datuk Seri Hajiji Noor selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, meskipun BN tidak bersama-sama GRS bagi menghadapi pilihan raya negeri baru-baru ini, namun suasana dan situasi politik berubah selepas itu.
“Inilah hakikat politik kita tidak boleh jumud dengan keadaan. Biar pun BN tidak bersama-sama dengan GRS bagi menghadapi pilihan raya tetapi hakikatnya pasca pilihan raya, suasana dan situasi politik berubah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru supaya semua pihak menerima hakikat penyertaan BN dibuat demi kesejahteraan rakyat Negeri Di bawah Bayu itu.
“Ini hakikat politik jangan ada perasaan keangkuhan yang tinggi kerana hakikat politik itu sangat-sangat pragmatik dan ianya mesti diterima sebagai satu hakikat untuk menghadapi dan menjana supaya kestabilan politik menjadi keutamaan bagi mensejahterakan rakyat Sabah.
“Jadi, itulah semangat yang telah kami bina bersama-sama,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















