Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot (tengah) bersama Pengerusi MyCEB, Dr. V. N. Sivakumar (kanan) merasmikan Sambutan Rangkaian Industri MyCEB 2025 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 02 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) membuka lembaran baharu dalam sektor penganjuran acara perniagaan (business events) menerusi jalinan kerjasama dengan Marriott International Malaysia (Marriot).

Kedua-dua pihak semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam memperkukuh kerjasama strategik memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara perniagaan bertaraf dunia.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan menggabungkan kepakaran MyCEB dalam promosi destinasi dengan rangkaian global serta standard hospitaliti antarabangsa Marriott untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Inisiatif itu sekali gus selari dengan pelan strategik MyCEB 2026 iatu `BE Malaysia Go Global: Unlocking New Markets’.

Sementara itu, Pengerusi MyCEB, Dr. V. Sivakumar berkata, kerjasama dengan Marriot tersebut amat penting dalam terus memastikan Malaysia menjadi pilihan utama kepada penganjuran acara perniagaan bertaraf antarabangsa.

Pengerusi MyCEB, Dr. V. N. Sivakumar berucap pada Sambutan Rangkaian Industri MyCEB 2025 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 02 DISEMBER 2025.

Ujarnya, kerjasama itu juga akan memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak dengan MyCEB bakal dipromosikan sebagai penganjur acara perniagaan dalam kalangan pemain antarabangsa, manakala Marriot dipilih sebagai lokasi penginapan kepada para peserta acara tersebut.

“Marriot mempunyai rangkaian yang cukup luas dan besar di seluruh dunia dan kerjasama seperti ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah selain turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara perniagaan antarabangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Majlis menandatangai MoU itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Presiden Perniagaan Marriot, George Varughese.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot (kiri) bersama Pengerusi MyCEB, Dr. V. N. Sivakumar (kanan) menyaksikan penyerahan MOU antara MyCEB dan Marriott Malaysia pada Sambutan Rangkaian Industri MyCEB 2025 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 02 DISEMBER 2025.

MoU itu dijangka memberi manfaat besar kepada industri acara perniagaan melalui usaha bersepadu untuk memperluaskan pasaran antarabangsa, menarik lebih banyak acara bernilai tinggi, dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

Dengan sokongan rangkaian Marriott di Malaysia, inisiatif bersama seperti misi jualan, lawatan tapak, perkongsian kecerdasan pasaran dan libat urus dengan pelanggan akan membantu meningkatkan kehadiran Malaysia di pentas global.

Ia seterusnya akan memperkukuh keyakinan penganjur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai pilihan utama untuk persidangan, pameran, insentif dan acara sukan antarabangsa.

Sementara itu, Sivakumar menambah, di bawah MoU tersebut juga, MyCEB telah mengenal pasti beberapa fokus utama antaranya memantapkan sokongan bidaan (bid support) bagi menarik lebih banyak peluang perniagaan dan acara antarabangsa.

Selain itu, katanya, misi jualan bersama (joint sales missions), lawatan tapak dan interaksi klien juga akan dimantapkan bagi mempertingkatkan keyakinan pasaran terhadap Malaysia.

Dalam masa sama, ujar beliau, MyCEB dan Marriot juga akan mengadakan perkongsian maklumat dan kecerdasan pasaran untuk memperkukuh strategi pemasaran dan meningkatkan keterlibatan Malaysia di peringkat global.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada usaha menarik acara perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) serta acara sukan antarabangsa berskala besar menerusi kerjasama ini,” katanya.

Chief Executive Officer Sabah International Convention Centre, Datuk Rosmawati Haji Lasuki bercakap pada media berkenaan Sambutan Rangkaian Industri MyCEB 2025 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 02 DISEMBER 2025.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Dr Rosmawati Lasuki yang turut menghadiri majlis menandatangani MoU itu semalam menyifatkan kerjasama MyCEB dan Marriot turut memberi manfaat besar kepada pemain industri acara MICE di negara ini.

Sebagai contoh, katanya, SICC yang menjalin kerjasama erat dengan MyCEB turut dapat dilibatkan dalam peganjuran acara perniagaan bertaraf antarabangsa dengan rangkaian lebih luas bersama Marriot pada masa depan.

“Sabah misalnya menawarkan pelbagai keunikan dan peluang untuk diterokai kepada masyarakat antarabangsa dan kita sentiasa bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran acara perniagaan yang bertaraf dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast