Tangkap layar video tular kejadian banjir di Hulu Langat, Selangor pada 4 Dis 2025.

KUALA LUMPUR – Polis menutup sementara dua laluan di kawasan Sungai Serai dan Nanding, Hulu Langat, Selangor yang terjejas akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir itu pada 6.18 pagi.

“Laluan itu ditutup sementara kerana paras air semakin meningkat dan kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata paras air di Batu 18, Hulu Langat menunjukkan penurunan manakala di kawasan Batu 14 masih dinaiki air dan pihaknya telah menempatkan anggota untuk memantau situasi itu.

Naazron berkata polis bersama penduduk turut membantu menghantar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding berikutan laluan ke sekolah terbabit dinaiki air.

“Setakat ini semua calon SPM di kawasan yang terjejas sudah dihantar ke pusat peperiksaan dan dalam proses menghantar seorang lagi calon,” katanya.

Beliau berkata pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terbabit telah diaktifkan dan menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya segera berpindah.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pasukannya berjaya menyelamatkan 20 mangsa banjir di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat selepas air naik sedalam satu kaki, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.

Menurut beliau, operasi diketuai seorang pegawai bersama tujuh anggota dengan menggunakan jentera LFRT, FRV dan sebuah lori Hicom.

“Pihak kami turut memantau situasi semasa dan mendapati trend paras air semakin menurun.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast