Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Beberapa pandangan kritikal mengenai slogan Malaysia Madani dibangkitkan apabila konsep tersebut didakwa tidak hanya merujuk kepada manusia di Malaysia tetapi turut menggambarkan ciri-ciri universal kemanusiaan serta fitrah pelbagai bangsa.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan agar masyarakat ‘tidak tertipu dengan slogan semata-mata’.

Menurutnya, pandangan tersebut turut mengaitkan tafsiran Ibnu Khaldun yang membahagikan perkembangan manusia kepada beberapa peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan nyanyuk serta mengaplikasikannya terhadap perkembangan sesebuah negara dan bangsa.

“Menurut Ibn Khaldun, keadaan ‘kemewahan yang bernafsu’ merupakan petanda sesuatu umat sedang memasuki fasa nyanyuk sebelum menemui ajal,” katanya menerusi Minda Presiden Pas di Facebook.

Beliau turut menegaskan apabila sesebuah umat berada di tahap kemerosotan, Allah akan menggantikan mereka dengan generasi baharu yang berjuang membina masyarakat dan negara yang lebih baik.

Katanya, konsep Malaysia Madani dalam pandangan ini disifatkan seperti ‘air mutlak’ yang boleh berubah pada bila-bila masa menjadi bersih atau kotor, jernih atau keruh bergantung kepada amalan serta arah pentadbiran negara.

Pandangan tersebut kata beliau, turut menyentuh isu keruntuhan moral yang semakin serius dalam masyarakat termasuk dalam keluarga, sekolah serta ruang sosial yang lebih luas.

“Ia dikaitkan dengan kegagalan kerajaan menangani rasuah, salah laku serta dakwaan wujudnya kezaliman pentadbiran yang menafikan hak pihak tertentu,” ujarnya.

Selain itu dakwanya, kritikan turut ditujukan kepada pemimpin yang disifatkan mampu ‘berlakon’ dengan imej agama namun pada masa sama terpalit sikap lalai atau mengejar hiburan mengikut keadaan.

“Usaha membawa agenda madani ke peringkat antarabangsa sehingga dilihat menghilangkan maruah dan kedaulatan negara turut dianggap sebagai ‘tanda nyanyuk’ bagi sesebuah tamadun.

“Pandangan tersebut menegaskan bahawa Malaysia Madani hanya mampu keluar daripada fasa kemerosotan sekiranya kembali melakukan islah atau pembaikan menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast