Joshua Woo.

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang tidak berganjak daripada fokus membina masa depan lebih baik untuk negeri itu meskipun berdepan serangan politik yang berulang sejak 18 tahun lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Joshua Woo Sze Zeng berkata, di tengah-tengah segala serangan itu, pendirian parti kekal teguh, fokusnya kekal jelas dan amanah rakyat terus menjadi keutamaan.

“Pelbagai parti politik termasuk Bersama mula berkempen dan menyerang DAP Pulau Pinang ketika kita sekali lagi menghampiri musim pilihan raya.

“Corak yang sama berlaku pada 2013, 2018 dan 2023. Kini, sejarah itu berulang lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, komitmen DAP Pulau Pinang kekal untuk membina masa depan yang lebih baik bagi negeri itu, dengan pencapaian kerajaan negeri dapat dilihat menerusi peningkatan eksport, pelaburan, pendapatan isi rumah serta peluang pendidikan.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan eksport terkumpul sekitar RM2.65 trilion dari 2020 hingga 2025 selain kekal sebagai negeri pengeksport terbesar di Malaysia dengan sumbangan 36 peratus daripada jumlah eksport negara tahun lalu.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 2020, Pulau Pinang turut merekodkan hampir RM207 bilion pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita negeri juga meningkat RM25,766, daripada RM54,818 pada 2020 kepada RM80,584 pada 2025.

“Pendapatan median bulanan isi rumah Pulau Pinang turut meningkat sebanyak RM1,217, daripada RM6,169 pada 2020 kepada RM7,386 pada 2024.

“Dari 2022 hingga 2024, Pulau Pinang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan median tertinggi, iaitu 6.4 peratus, berbanding kadar pertumbuhan median nasional sebanyak 5.1 peratus,” katanya.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata, Penang Future Foundation yang dilancarkan pada 2015 telah menganugerahkan kira-kira 863 biasiswa dengan nilai unjuran keseluruhan RM47.7 juta kepada pelajar yang layak.

Selain itu, katanya, lebih RM53.85 juta disalurkan dari 2023 hingga 2026 kepada SJKC, SMJK, Sekolah Menengah Persendirian Cina, SJKT dan Sekolah Agama Rakyat.

“Anak-anak muda ialah aset paling berharga bagi Pulau Pinang. Ilmu, bakat dan kejayaan mereka akan menentukan masa depan negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hubungan sehaluan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan turut membawa sokongan kepada projek infrastruktur utama negeri.

“Projek LRT Pulau Pinang menelan kos kira-kira RM17 bilion, dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di Seberang Perai pula melibatkan kos RM3 bilion, juga dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here