Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada wartawan ketika melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Ahmad Zahid akan bertemu dengan Ismail pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026) yang sedang berlangsung bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan berkenaan.

“Dia pastinya akan bertemu dengan saya ketika PAU2026 ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau dan saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026) yang berlangsung sejak semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas dakwaan berkenaan, Ahmad Zahid tidak berada dalam majlis ketika proklamasi itu ditandatangani dan tidak jelas mengenai perkara yang didakwa berlaku.

“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika penandatangan itu dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid turut berkata, isu berkenaan juga wajar dijelaskan oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam penyediaan dan urusan dokumen tersebut.

“Jadi saya telah menyatakan semalam bahawa kita serahkan kepada peguam yang menyediakan dokumen berkenaan dan yang menyaksikan serta menyimpan dokumen itu untuk membuat kenyataan,” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan Ismail yang merupakan Menteri Besar baharu Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dipaksa menandatangani proklamasi berkenaan, namun perkara itu turut mencetuskan persoalan mengenai pihak yang terlibat dalam penyediaan dan penandatanganan dokumen tersebut.

Semalam, Ismail mendakwa telah dipaksa untuk menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Ismail berkata, sehubungan itu laporan polis berhubung perkara itu turut dibuat kira-kira pukul 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).

“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerajaan Negeri Sembilan berpendirian bahawa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here