KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi berkaitan notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) sehingga 7 Januari 2026 sekali gus tidak meneruskan tindakan terhadap semua Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) sementara rundingan penyelesaian dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dimuktamadkan.
Menurut kenyataan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali, keputusan itu dibuat susulan kemajuan positif dalam siri rundingan yang sedang berjalan antara Kerajaan Negeri dan Pengurusan Tertinggi FELDA bagi mencari penyelesaian menyeluruh mengenai isu tanah kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh FELDA/FGV.
“Melihat kepada perkembangan positif dari hasil rundingan tersebut, kerajaan negeri meyakini bahawa siri rundingan seterusnya akan diteruskan sehingga berjaya mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan antara Kerajaan Negeri dan FELDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perkembangan rundingan setakat ini menunjukkan hala tuju yang positif dan mampu mencapai persetujuan yang boleh dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan FELDA.
Dalam kenyataan itu, kerajaan turut menegaskan, langkah tidak meneruskan notis terhadap Lembaga Pengarah FGV adalah sebahagian komitmen negeri untuk memastikan proses rundingan berjalan lancar tanpa gangguan tindakan perundangan yang boleh menjejaskan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Pada masa sama, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang di Terengganu secara serta-merta sepanjang tempoh rundingan bagi memastikan aktiviti ekonomi dan pengurusan ladang tidak terhenti.
“Dalam tempoh remedi ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan dan Kerajaan Negeri juga telah mempertimbangkan untuk bersetuju memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta-merta.
“Notis yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN akan ditarik balik sebaik sahaja satu perjanjian muktamad berjaya ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan FELDA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















