Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.

KUANTAN – Aktiviti pelancongan di Tasik Chini, Pekan tidak terjejas meskipun Resort Tasik Chini masih belum beroperasi.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, terdapat banyak tarikan pelancongan lain yang disediakan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) di lokasi terbabit.

“Untuk maklumat, PPTC menawarkan fasiliti, tempat penginapan dan tapak perkhemahan. Ada bot, ada kayak, ada denai, surau dan bilik mesyuarat.

“Sebenarnya ia mendapat sambutan yang baik. Saya difahamkan hampir setiap hujung minggu, tempahan di Pusat Penyelidikan Tasik Chini memang penuh dan mereka juga menawarkan pakej-pakej eksplorasi Orang Asli, ada pakej eksplorasi Tasik Chini dan ada pakej eksplorasi hutan juga.

“Ini menunjukkan pelancongan di Tasik Chini masih relevan,” katanya.

Yu Man berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain pada sesi soal jawab lisan dalam Mesyuarat ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang hari ini.

ADUN Chini bertanya jika kerajaan negeri berhasrat untuk membuka semula kawasan peranginan dan Resort Tasik Chini itu setelah lebih lima tahun terbengkalai.

“Setakat ini, Resort Tasik Chini masih dalam tindakan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) untuk mendapatkan pelabur bagi membuka semula (operasi),” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast