Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad gembira sekiranya Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilantik menjadi Menteri dalam rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa keputusan menentukan senarai menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet baharu Kerajaan Madani adalah prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas spekulasi mengenai Shamsul Anuar Nasarah yang disebut-sebut bakal mengisi barisan Kabinet terbaharu kerajaan.

“Itu adalah prerogatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kita tak tahu,” katanya pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri Kelapan 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saarani menyedari banyak pihak mencadangkan nama Shamsul Anuar sebagai calon menteri dan menyambut baik sekiranya perkara itu menjadi kenyataan.

“Tapi saya tengok banyak, tak tahulah pasal apa ramai sangat orang mencadangkan Datuk Dr Shamsul, saya sangat gembiralah.

“Bila ahli Parlimen saya kalau dipilih menjadi menteri penuh, alhamdulillah. Dia pernah jadi menteri sebelum ini.

“Jadi, kalau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terbuka hati nak melantik Datuk Dr Shamsul sebagai menteri penuh, saya menyokong 101 peratus,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mencadangkan Shamsul Anuar mengisi Kabinet baharu kerajaan.

Lian Ker menyifatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu seorang individu berprinsip parti, teladan ahli politik Melayu lama dan UMNO yang ikhlas serta rendah diri.

Terdahulu, Anwar dilapor berseloroh apabila meminta pihak media mengemukakan cadangan nama bagi barisan Kabinet baharu.

Ia berikutan spekulasi mengenai rombakan yang menjadi tumpuan susulan beberapa menteri meletak jawatan selain menteri dan timbalan menteri berstatus Senator tamat perkhidmatan.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, Anwar akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Madani selepas proses pertimbangan yang cermat dan berhemah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast