KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud akan menggerakkan tanggungjawab baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak melalui kerjasama erat lagi harmoni antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Ia kata beliau, bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara Persekutuan dan Wilayah Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, komitmen berterusan juga akan diberikan untuk mengembalikan dan mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.
“Hal ini selaras dengan semangat, sejarah dan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjadi asas pembentukan Persekutuan demi kemakmuran rakyat dalam Negara Malaysia yang berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu menerusi pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Mustapha turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan bagi memegang jawatan menteri tersebut.
Menurut beliau, pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab serta kesedaran terhadap harapan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Insya-Allah, tugas ini akan digalas dengan tekad untuk meneruskan dan memperkukuh usaha-usaha berkaitan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan di bawah teraju Kerajaan Malaysia Madani demi kepentingan kedua-dua wilayah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta seluruh pasukan kementerian itu atas kepimpinan dan kerjasama erat sepanjang beliau berkhidmat di KPT.
“Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi penyediaan bakat terbaik negara, meluaskan akses pendidikan tinggi dan memperkasa institusi pendidikan tinggi di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette















