PUTRAJAYA – Dr Zulkifli Hasan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk menjalankan amanah dengan sebaiknya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Istana Negara hari ini.
Beliau menyifatkan kenaikan pangkat itu sebagai satu kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada dirinya untuk meningkatkan syiar Islam di negara ini.
“Saya dan Senator Marhamah Rosli mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memberikan kepercayaan, amanah dan taklif untuk kami melakukan sebaiknya untuk negara.
“Alhamdulillah, hari ini kami dapat tawsiyah daripada Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka ada menyampaikan pesanan-pesanan untuk melakukan sebaiknya kepada negara,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Zulkifli dan Marhamah mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik bermulanya tugas pertama mereka masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bermula hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli juga merakamkan penghargaan kepada mantan menterinya, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar yang banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang perkhidmatannya di kementerian itu.
“Doakan saya supaya kita dapat melakukan sebaiknya dan anjakan yang lebih baik untuk kita meningkatkan syiar Islam. Kita ingin menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu adalah rahmah.
“Islam itu adalah membawa kerahmatan kepada semua. Bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















