Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli pada hari pertama memulakan tugas di Kompleks Islam Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baharu, Marhamah Rosli sedia menggalas amanah yang diberikan dengan dengan penuh rasa tanggungjawab dan disiplin.

Malah beliau turut akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu memperkukuh dasar serta pelaksanaan agenda hal ehwal agama agar lebih dekat dengan rakyat.

Menurutnya, lantikan sebagai Timbalan Menteri Agama adalah amanah besar dan mencabar yang mana tanggungjawab itu menuntut ketelitian, disiplin dan kesediaan untuk terus belajar.

“Dengan segala keterbatasan diri, saya melangkah ke dalam amanah ini dengan rasa penuh tanggungjawab sambil memohon doa dan bimbingan daripada semua,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Dalam pengumumkan rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu, Marhamah merupakan muka baharu yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Agama bagi menggantikan Dr. Zulkifli Hasan yang kini merupakan menteri penuh portfolio sama.

Marhamah sebelum ini lebih dikenali sebagai aktivis agama dan merupakan antara tokoh yang dekat dengan perjuangan mendapatkan keadilan dalam kes kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Sementara itu, Marhamah turut berharap sedikit pengalaman yang dimiliki selama bekerja di lapangan bersama masyarakat dapat dimanfaatkan untuk membangun institusi agama dan memperkasakan wanita.

Dalam masa sama, beliau menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri yang melantik beliau bagi jawatan tersebut.

“Kepercayaan ini saya terima dengan penuh kesedaran bahawa amanah ini bukan untuk diraikan tetapi untuk dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Tambah Marhamah, beliau dengan penuh rasa tanggungjawab juga akan bekerjasama rapat dengan Zulkifli bagi memperkasa fungsi agensi agama serta menyokong penglibatan dan sumbangan wanita Islam secara berhemah dalam pelaksanaan program-program islah yang membina dan menyatukan.

“Sehubungan dengan pelantikan ini, dengan rasa rendah diri, saya mengambil semua respon sebagai teguran dan saya sangat raikan pendapat dari semua pihak.

“Saya anggap semua yang berlaku, sama ada yang baik atau buruk, adalah cara Allah membimbing saya.

“Semua ini Allah izin dan saya yakin, Allah tidak pernah salah dalam menetapkan apa sahaja ketentuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast