One click can make content go viral.

KUANTAN – Seorang lelaki warga emas terpaksa berputih mata kerugian hampir RM500,000 wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya akibat tertipu dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga berusia 61 tahun telah tertarik dengan iklan kerja sambilan di aplikasi Facebook pada 28 Ogos lalu.

“Mangsa seterusnya dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil platform e-dagang Taobao dan Unibuy, serta diberikan satu pautan palsu bagi tujuan pendaftaran akaun penjual.

“Melalui platform tersebut, mangsa diarahkan menjalankan aktiviti kerja sambilan dengan memilih beberapa jenis produk yang kononnya boleh dijual ke pasaran Eropah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa dimaklumkan bahawa kos barangan perlu ditanggung terlebih dahulu dan komisen keuntungan sebanyak 30 peratus akan diberikan bagi setiap produk setelah barangan berjaya dihantar kepada pelanggan.

Mangsa kemudiannya telah membuat beberapa transaksi pembayaran berperingkat ke akaun suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM505,202.71 bagi tujuan pembelian barangan tersebut.

“Pada peringkat awal, mangsa telah menerima keuntungan sebanyak RM8,303.65 melalui tiga transaksi.

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan berterusan kononnya bagi tujuan yuran dan melengkapkan proses pelepasan dana sebelum keuntungan boleh diterima,” jelasnya lagi.

Tambah Yahaya, selepas bayaran dibuat, mangsa mendakwa keuntungan seterusnya gagal diterima dan dana tidak dilepaskan, menyebabkan mangsa mengesyaki telah diperdaya oleh sindiket penipuan.

Ekoran itu, mangsa terus membuat laporan polis dan memaklumkan telah mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM496,899.06.

Yahaya memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan  menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran hadiah atau pulangan yang menjanjikan keuntungan lumayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast