sekolah vernakular
Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin berhubung keputusan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikecam MCA.

Parti itu menyifatkanya sebagai tidak beradab serta mencerminkan ketiadaan empati.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, perbezaan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meraikan kesusahan atau penderitaan pihak lain apatah lagi apabila melibatkan isu perundangan dan nasib individu.

“Walau sejauh mana perbezaan pandangan politik atau rasa tidak sehaluan terhadap seseorang adalah tidak beretika untuk bergembira, meraikan atau bersorak atas kesedihan dan air mata orang lain.

“Ini bukan sahaja tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik malah mencalar nilai kemanusiaan dan adab dalam wacana awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sin Woon, kenyataan dan tindakan Bee Yin yang dimuat naik secara terbuka di media sosial turut memberi gambaran seolah-olah cuba mempengaruhi orang ramai untuk mengamalkan sikap sama yang menyemarakkan kebencian dan perpecahan dalam masyarakat.

“Tingkah laku sebegini mencerminkan keperibadian yang dipenuhi rasa dendam dan kemarahan. Lebih membimbangkan, ia dilakukan secara terbuka dan dilihat seolah-olah cuba mengajak orang lain untuk turut bersikap demikian,” tegasnya.

Katanya, sebagai pemimpin politik, setiap kenyataan yang dikeluarkan mempunyai kesan besar terhadap keharmonian masyarakat, lebih-lebih lagi dalam negara majmuk seperti Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, ahli politik seharusnya menunjukkan teladan yang baik termasuk menghormati proses kehakiman dan mengelakkan kenyataan yang boleh mencetuskan provokasi atau polemik tidak perlu.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab hanya akan menambah ketegangan, mencetuskan kontroversi dan akhirnya memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Selain itu, Sin Woon turut mempersoalkan sampai bilakah ahli politik akan terus gagal mempamerkan kematangan dalam berdepan isu sensitif khususnya apabila melibatkan keputusan mahkamah dan implikasinya terhadap individu serta masyarakat.

Menurutnya, perbezaan pendirian politik sepatutnya ditangani secara berhemah dan berprinsip bukan melalui sindiran atau perbuatan yang boleh dianggap memperlekehkan kesusahan pihak lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast