KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa percaya Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan titah addendum berhubung tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu selepas mendapat nasihat undang-undang daripada Peguam Negara.
Tambahan pula katanya, addendum tersebut ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh,
“Jika tindakan YDPA tidak selaras dengan undang-undang atau Perlembagaan, sudah pasti sebagai Peguam Negara, anda akan menasihati baginda sebaliknya dan mencari alternatif lain,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Nooryana yang lebih dikenali sebagai Yana Najib menambah, kes ini telah menunjukkan bahawa apabila tiada pihak yang mengambil tanggungjawab atas tindakan mereka pelbagai komplikasi akan timbul.
Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan emosi memuncak dan kekecewaan yang terpendam akan meletup.
Ia tidak akan reda dengan hanya meminta semua pihak bertenang dan bersabar.
Menurut Yana, permohonan semakan kehakiman untuk mengesahkan kewujudan dan pelaksanaan titah addendum bagi tahanan rumah bukanlah pilihan utama bapanya.
Katanya, Najib mahu menyelesaikan isu itu secara tertutup melalui cara diplomatik tanpa perhatian umum kerana beliau memahami sensitiviti isu tersebut di samping tidak mahu meletakkan mana-mana pihak termasuk kerajaan dalam keadaan sukar.
Namun, selepas tiga bulan berusaha mendapatkan maklumat dan menulis kepada kementerian serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Perdana Menteri, bekas Presiden UMNO itu tidak berjaya memperoleh jawapan yang diperlukan.
Surat-surat Najib juga tidak mendapat sebarang maklum balas seolah-olah wujud cubaan untuk menyembunyikan kebenaran.
“Sekiranya pihak berkuasa berkaitan membalas surat-menyurat DSN pada Januari / Februari 2024 dengan menyatakan — ya, kami menerima satu titah diraja tetapi kami tidak percaya ia boleh dikuatkuasakan atas sebab-sebab tertentu — ia sudah tentu dapat menjimatkan masa DSN serta kos yang terpaksa ditanggung untuk membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya lagi sambil menambah, membawa kes addendum ke mahkamah merupakan jalan terakhir Najib.
Ujar Yana, bapanya sentiasa berpegang teguh untuk menghadapi segala cabaran secara berprinsip dan menganggap bahawa pilihan untuk melarikan diri daripada apa yang beliau ketahui sebagai penganiayaan politik adalah satu tindakan pengecut.
Oleh itu, Najib tekad untuk memastikan namanya dibersihkan daripada sebarang salah laku.
“Saya yakin bahawa walaupun beliau amat kecewa, beliau akan terus berjuang dengan sepenuh kudratnya demi menegakkan keadilan.
Sebagai seorang anak, apa yang mampu saya doakan hanyalah agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik pada usia 72 tahun ini, supaya beliau dapat menghadapi segala cabaran dengan fikiran yang jernih dan hati yang tabah,” katanya. -MalaysiaGazette
















