Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Bandar Sungai Buaya, Datuk Ruslee Hashim ketika melakukan tinjauan ke lokasi insiden tanah runtuh di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

HULU SELANGOR – Aliran trafik tinggi sehingga 5,000 kenderaan sejam pada waktu puncak di Bukit Benggali, Jalan Sungai Buaya di sini didakwa menyebabkan laluan dua lorong itu kerap rosak, berlubang dan terkini berlaku kejadian tanah runtuh.

Kawasan selekoh berbahaya di Laluan Persekutuan FT1208 yang terkenal dengan kadar kemalangan tinggi dek kebanjiran jentera berat sehingga menjejaskan struktur lalu lintas sebelum berlakunya tebing runtuh pada 24 November lalu.

Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Bandar Sungai Buaya, Datuk Ruslee Hashim. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya (GNBSB), Datuk Ruslee Hashim berkata, sekiranya pihak berkuasa tidak memantau keadaan itu, kelak lebih 20,000 penduduk  bakal terputus hubungan lagi.

“Kawasan ini merupakan berisiko tinggi dan selalu berlaku kemalangan maut kerana kebanyakan pengguna jalan raya yang datang dari luar, mereka tak tahu selok-belok jalan di kawasan sini.

Sebuah kenderaan berat kelihatan melalui Jalan Sungai Buaya berhampiran dengan insiden tanah runtuh ketika tinjauan di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

“Saya mohon Jabatan Kerja Raya (JKR) ataupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang kenderaan-kenderaan berat daripada melalui kawasan ini.

“Jika keadaan itu terus dibiarkan tanpa pengawasan, kami bakal terputus hubungan lagi akibat kejadian tanah runtuh,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Sungai Buaya hari ini.

Pengguna jalanraya melintasi Jalan Sungai Buaya berhampiran insiden tanah runtuh ketika tinjauan di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

Ruslee berkata, Jalan Sungai Buaya mengundang banyak kemalangan maut disebabkan laluan dua lorong itu tidak pernah dinaik taraf sejak pembinaan Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Januari 2014.

Aliran trafik yang sesak berikutan daripada insiden tanah runtuh dan sebuah kenderaan berat yang turut menggunakan jalan tersebut ketika tinjauan di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

“Seperti mana kita tahu di bawah sana ada kilang Perodua, Tan Chong Motor dan 200 kilang lain dan jalan ini sudah menjadi jalan utama sebenarnya apabila interchange Sungai Buaya dibuka pada 2014.

“Sepatutnya jalan ini telah pun dinaik taraf dan memang dulu ada diceritakan bahawa proses untuk pelebaran dan pelurusan jalan ni akan dibuat, tapi kami menunggu dari 2014 hingga saat ini,” katanya.

Kenderaan melintasi Jalan Sungai Buaya pada waktu hujan berhampiran insiden tanah runtuh ketika tinjauan di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

Selain itu, Ruslee mendakwa, kerja-kerja ataupun tender bagi proses pelebaran dan pelurusan jalan ini tidak berlaku sedangkan jalan ini cukup berbahaya kepada pemandu.

“Hari ini kita tengok tebing runtuh yang berlaku ini sangat antara tiga hingga 40 meter ke bawah dan ia mengundang bahaya.

Sebuah papan tanda amaran berhampiran insiden tanah runtuh di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

“Tambahan pula, musim hujan begini, kami amat risau kejadian tidak diingini berlaku lagi, saya merayu sangat kepada pihak kerajaan agar segerakanlah projek pelurusan dan pelebaran jalan FT1208 ini.

“Bermula dari Kampung Koskan hingga ke Bandar Sungai Buaya kerana ia merupakan nadi utama dan banyak menyumbang kepada perkembangan sosial, ekonomi Selangor dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Kenderaan melintasi Jalan Sungai Buaya pada waktu hujan berhampiran insiden tanah runtuh ketika tinjauan di Jalan Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 24 DISEMBER 2025

Dalam pada itu, Ruslee menggesa pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengarahkan para pemaju hartanah untuk menyegerakan pembinaan empat lorong dan pelurusan jalan terbabit.

“Kita minta pihak MPHS mengumpulkan semua pemaju yang terlibat dalam pembelian tanah di sekitar sini untuk menyegerakan pembinaan empat lorong dan juga pelurusan jalan ini.

“Mungkin atas kehendak ataupun kewajipan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. alhamdulillah…Kita Cakna Permasalahan Warga Marhaen…Terus santuni kami warga Bandar Sg Buaya..wahai Pemimpin Turun Padang dan Selesaikan Masalah Kami Ambil Peduli…

  2. lagi satu minta yg berwajib utk pasang lampu jalan di sepanjang jln utk ke bandar sungai buaya…tiang lampu banyak tp semua x berfungsi nak tggu ada kecelakaan baru nak pasang …dan tolong sangat² buat sesuatu di simpang 4 bandar sg buaya…sering berlaku kemalangan di situ…cadangan saya agar dibuat traffic lights atau roundabout

Comments are closed.