GEORGE TOWN – Seorang lelaki cedera akibat dihempap kayu sepanjang lima meter yang jatuh dari bumbung sebuah premis dua tingkat di Jalan Gurdwara di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an dikatakan sedang menunggu isterinya membeli makanan di sebuah restoran sebelum kayu berkenaan dipercayai terjatuh dari bahagian atas bangunan terbabit.
Pekerja restoran, Muhamad Ujal, 33, berkata, pasangan berkenaan tiba dengan menaiki motosikal sebelum isteri mangsa masuk ke dalam premis manakala lelaki itu menunggu di luar.
“Saya sedang mengambil pesanan apabila terdengar bunyi kuat seperti ada benda jatuh dan kawasan hadapan restoran tiba-tiba berhabuk.
“Saya kemudian melihat mangsa terbaring di lantai. Dia masih sedarkan diri, namun saya tidak pasti tahap kecederaannya,” katanya di lokasi.
Menurutnya, kejadian itu dimaklumkan kepada majikannya bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, ahli pasukan sukarela Komuniti Penang Safe, Theam, 63, berkata, dia menghubungi pasukan perubatan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, premis lama dua tingkat itu menempatkan restoran makanan di tingkat bawah manakala tingkat atas digunakan sebagai penginapan pekerja dan kayu yang jatuh dipercayai merupakan alang bumbung di bahagian atas bangunan.
Kawasan kejadian yang juga laluan pejalan kaki kemudian dibersihkan oleh pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – MalaysiaGazette
















