KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya menyifatkan langkah politik yang terlalu ghairah di Perlis yang merupakan sebuah negeri kecil telah merosakkan segala-galanya.
Menurut beliau, ia termasuk hubungan dalam Perikatan Nasional (PN); kepercayaan sesama rakan gabungan dan persepsi rakyat.
Sedangkan, ujarnya, Perlis tidak memerlukan perebutan kuasa atau drama politik.
Malah, tegas beliau, negara juga tidak memerlukan politik nafsu besar yang akhirnya mencalar semua pihak.
“Untuk sebuah negeri kecil, harganya terlalu mahal,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Kemelut politik di Perlis kini dililhat menjadi semakin parah selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Krisis itu tercetus susulan dakwaan wujud akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang ditandatangani lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing tiga daripada Pas dan lima Bersatu.
Akibatnya, Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatan atas faktor kesihatan dengan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
Bagaimanapun, pelantikan Abu Bakar itu menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin Pas yang memberi bayangan bersedia meninggalkan gabungan PN. – MalaysiaGazette















